AGENDANASIONAL

Suspek kes samun wanita China bukan lagi anggota polis

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Lelaki yang ditahan berhubung kes samun seorang wanita warga China di Pandan Perdana dekat sini pada Ahad lepas merupakan bekas anggota polis yang diberhentikan kerja kerana terbabit dengan kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek yang berusia 46 tahun telah diberhentikan kerja pada 18 Julai 2018.

“Suspek telah diberhentikan kerja kerana disabitkan kes dadah di Terengganu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata seorang koperal polis yang ditahan kerja direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes samun seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 29 tahun yang sedang minum di kedai makan, dihampiri suspek bersama dua rakannya yang mengenalkan diri sebagai anggota polis dengan mangsa kerugian wang tunai hampir RM5,000 dan barangan persolekan.

Mohd Azam berkata polis sedang giat memburu dua rakan suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :