Anggota polis dari IPD Kubang Pasu melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan utama pekan Napoh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Parlimen Kubang Pasu sehingga 30 Ogos ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tak patuh SOP punca pertambahan kluster Sivagangga, Kurau

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pertambahan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga dan Kurau dikenal pasti berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidiladha tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebanyakan kes bagi kedua-dua kluster tersebut terdiri daripada ahli keluarga termasuk dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 70 tahun.

“Kluster Sivagangga dan Kurau merupakan dua kluster yang didapati mencatat pertambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini terutama selepas musim perayaan.

“Melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas kontak rapat kes mendapati penularan jangkitan Covid-19 dalam kedua- dua kluster ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata walaupun aktiviti kunjung-mengunjung kini dibenarkan namun masih tertakluk kepada SOP dan penjarakan fizikal selamat sesama individu termasuk antara ahli keluarga.

“Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan,” katanya lagi.

Sehingga kini, kluster PUI Sivagangga menjangkiti 45 individu manakala kluster Kurau (lima).


Pengarang :