Ir Izham Hashim melawat tapak projek naik taraf Sungai Langat di Taman Permata, Dengkil pada 18 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tanah terbiar GLC sesuai laksana Program Keselamatan Bekalan Makanan

DENGKIL, 19 OGOS: Tanah terbiar hampir 1,000 ekar milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berpotensi dibangunkan untuk pertanian dan penternakan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata tanah yang pada asalnya bagi pembangunan bercampur gagal dilaksana berikutan tapak tidak sesuai.

“Contohnya tanah milik sebuah GLC di Pulau Indah, ada 1,000 ekar tidak digunakan. Ia lebih sesuai untuk penternakan ketam berbanding perumahan dan sekiranya tanah mencukupi, Program Keselamatan Bekalan Makanan Selangor dapat dilaksana tidak lama lagi,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak naik taraf ban Sungai Langat di Taman Permata Dengkil bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor Datuk Ir Gapar Asan di sini semalam.

Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020 yang diumumkan pada 13 Julai lalu memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan Program Keselamatan Bekalan Makanan dengan menggariskan lima langkah utama.

Langkah tersebut ialah menambah kawasan pertanian, meningkat aktiviti pengeluaran, memperkasa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, meningkat insentif agropreneur dan menggiat kaedah pertanian moden.


Pengarang :