Projek Gerbang Maritim Selangor memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Teksi air bakal diperkenal di Sungai Klang

SHAH ALAM, 12 OGOS: Landasan Lumayan Sdn Bhd bakal mewujudkan teksi air di Sungai Klang sebagai sebahagian pelan induk Gerbang Maritim Selangor, kata ketua perancangan strategik dan pelaburannya.

Muhamad Fadhli Mansor berkata kenderaan itu mampu mewujudkan ekosistem perniagaan baharu di Klang sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan infrastruktur sungai.

“Teksi air ini berfungsi menarik orang ramai ke Klang dan membolehkan perniagaan berkembang maju. Ia dapat mempromosi Klang sebagai hab kediaman dan perniagaan baharu di Selangor, selain membuka banyak sektor ekonomi di kawasan ini.

“Saya percaya dengan kewujudan teksi air, penduduk tempatan dan pelancong yang menaikinya pasti kagum dengan keindahan flora dan fauna sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail percaya perkhidmatan itu memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung dan meningkatkan aktiviti keusahawanan, khususnya di sepanjang Sungai Klang.

“Teksi air berfungsi menghidupkan semula Sungai Klang sebagai pusat perniagaan, pelancongan dan kediaman di Selangor. Malah, ia akan menjadi tambahan yang membolehkan aktiviti ekonomi berjalan lancar,” katanya.

Teksi air yang bermula dari Pangkalan Batu Urban Park hingga Mangrove Point (Pusat Paya Bakau) itu akan berlayar sejauh 15 kilometer.

Landasan Lumayan diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Gerbang Maritim Selangor melibatkan pembersihan, pemulihan dan pembangunan Sungai Klang.


Pengarang :