ADNSELANGOR

Terus ulang siar di media sosial larangan merokok, minum arak

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan atau pihak berkaitan disaran membuat kempen atau ulang siar di semua platform media sosial berhubung kompaun ke atas individu yang menghisap rokok dan meminum arak di tempat awam.

Ahli dewan negeri (ADN) Dusun Tua mencadangkan ia sebagai peringatan kepada si pelaku agar tidak melakukan kesalahan sama berulang kali dan menghormati ketenteraman awam.

“Kerajaan perlu terus ulang siar larangan merokok dan meminum arak di tempat awam menerusi semua platform media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, sehingga mereka yang mahu buat perkara itu berasa janggal,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Sementara itu, orang awam, Rashidah Ismail berkata beliau memuji inisiatif Kerajaan Selangor mewujudkan syarat itu sekali gus dapat mencerminkan negeri bersifat sifar pencemaran.

“Larangan ini boleh menghasilkan bandar yang nyaman tanpa udara kotor ekoran asap rokok. Malah, saya harap perokok dan mereka yang gemar meminum arak dapat hormati privasi orang sekeliling ketika berada di tempat awam,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.


Pengarang :