Thailand menutup pintu sempadan antara Malaysia sebagai usaha menyekat penularan Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAGLOBAL

Thailand siasat rakyat Malaysia balik dari Bangkok positif Covid-19

BANGKOK, 18 OGOS: Thailand sedang menyiasat kes seorang rakyat Malaysia yang diuji positif Covid-19 selepas pulang ke Kuala Lumpur dari Bangkok.

Lelaki warganegara Malaysia berusia 46 tahun itu tinggal di Bangkok dan kembali ke Malaysia pada 5 Ogos. Dia diuji negatif dalam ujian pertama dan positif dalam ujian kedua pada 15 Ogos.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoenchai dalam kenyataan berkata Kementerian Kesihatan Awam telah menghubungi rakan sejawatnya di Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu.

“Kami akan mendapatkan maklumat mengenai rekod perjalanannya dan siasat sumber jangkitan itu. Pegawai kesihatan akan mengesan dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua kontak rapat pesakit,” katanya.

Thailand merekodkan lebih 80 hari tanpa jangkitan tempatan.

Semua kes baharu Covid-19 dilaporkan di negara itu membabitkan rakyat Thailand yang pulang dari luar negara dan kumpulan warga asing yang dibenarkan memasuki negara itu.

Sejak 3 April, lebih 76,000 rakyat Thailand dan warga asing masuk ke negara itu dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan negara tersebut iaitu 441 orang diuji positif setakat ini.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki rakyat Thailand berusia 24 tahun yang kembali dari Indonesia adalah satu-satunya pesakit baharu Covid-19 di negara itu.

Setakat ini, Thailand merekodkan jumlah keseluruhan 3,378 kes dengan 58 kematian.

-BERNAMA


Pengarang :