Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) berkenan menyerahkan cek cura RM5,000 kepada wakil dari Agape Vision, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Sukarelawan Visi Remaja Selangor dan Kuala Lumpur (tengah) selepas menyempurnakan program THE CLASH di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 20 Ogos 2020. Foto Facebook FAS
AGENSISELANGOR

THE CLASH kumpul RM5,000, FAS hulur bantu belia Selangor dan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 22 OGOS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berjaya mengumpul dana RM5,000 menerusi program THE CLASH di Pusat Latihan FAS di sini Khamis lalu.

Sejurus program berakhir, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan dana tersebut kepada Pertubuhan Kebajikan Penyayang Sukarelawan Visi Remaja Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu ratusan remaja mendapat pembelaan sewajarnya.

Baginda yang juga Presiden FAS menzahirkan rasa gembira atas kerjasama antara persatuan itu dan pasukan sukan elektronik, Team Bosskurr dalam menjayakan program berkenaan.

“Ia adalah satu program yang bagus kerana pertama kali berkolaborasi dengan pasukan teratas dalam kancah e-sukan di Malaysia.

“Beta percaya, penyokong Gergasi Merah dan peminat PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) teruja dengan program hari ini (Khamis). Paling penting kutipan dari THE CLASH disalurkan kepada badan kebajikan untuk membantu mereka ketika pandemik Covid-19 sedang melanda,” titah baginda menerusi kenyataan di laman sesawang FAS.

Sementara itu, FAS memaklumkan program amal melibatkan perlawanan e-sukan, PUBG dan bola sepak lima sebelah disiarkan secara langsung di Facebook FA Selangor dan atlet e-sukan negara, Soloz mendapat lebih 485,000 tontonan dalam tempoh dua jam.

“Dalam siaran secara langsung ini, penonton disajikan dengan aksi pertempuran permainan PUBG dan bola sepak di samping mereka boleh menghulurkan derma sepanjang siaran berkaitan,” maklumnya.

THE CLASH turut mendapat sokongan daripada organisasi dan syarikat swasta lain seperti Komuniti Belia Selangor (SAY), Dominos Pizza Malaysia, Sugarbomb serta Fitech.


Pengarang :