AGENDANASIONAL

Tiada dokumen jejas operasi TLDM bocor di web gelap

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) seperti laporan media asing semalam, tidak melibatkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi TLDM.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan akan menyiasat punca serta sumber ketirisan maklumat itu.

“Sehingga kini sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) TLDM dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

“TLDM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Semalam, satu artikel yang dikeluarkan media asing ‘The Straits Times Singapura’ bertajuk “Malaysian navy papers put up on Dark Web” tular di media sosial.

-BERNAMA


Pengarang :