Virus Covid-19 dikesan kali pertama di Wuhan, China, dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Tiga lagi kes Covid-19 kluster Kurau dikesan – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 10 OGOS: Tiga lagi kes positif dikesan dalam kluster Kurau yang dikenal pasti melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kepada kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini kluster itu melibatkan dua negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang.

“Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini (kes 9050), iaitu adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur dua tahun.

“Kes pertama telah mempunyai kontak rapat dengan semua kes baharu ini semasa aktiviti kunjung-mengunjung menjelang Aidiladha iaitu pada 30 Julai lepas,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, seramai 125 orang telah disaring dalam kluster ini.

“Daripada jumlah ini, lima kes positif, 112 negatif manakala lapan masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan serta punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat kes, mendapati penularan Covid-19 dalam kluster Sivagangga dan kluster Kurau sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan.

“Dua kluster ini didapati mencatat pertambahan kes sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas musim perayaan.

“Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga 70 tahun turut termasuk dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun aktiviti kunjung-mengunjung kini dibenarkan, ia masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Penjarakan fizikal yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk antara ahli keluarga dan sanak saudara. Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan sambutan perayaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :