BERITA UTAMASELANGOR

Tiga sektor ekonomi Selangor penyumbang utama KDNK negara

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan di Selangor menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu.

Menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dikeluarkan semalam, tiga sektor berkenaan masing-masing menyumbang sebanyak 5.3 peratus (pembuatan), 10.5 peratus (pembinaan) dan 7 peratus (perkhidmatan).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perkhidmatan di negeri ini meningkat hasil daripada aktiviti perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi yang meningkat sederhana berbanding 2018.

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 5.3 peratus didorong oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal serta bahan kimia dan produk kimia.

“Selain itu, pertumbuhan dua angka bagi sektor pembinaan kepada 10.5 peratus dipacu oleh peningkatan segmen kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman turut mendorong pertumbuhan keseluruhan ekonomi Selangor,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyumbang 24.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Katanya, angka berkenaan meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.


Pengarang :