Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah meninjau persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 pada 29 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Titah Diraja tumpuan sambutan Hari Kebangsaan 2020

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menjadi tumpuan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Isnin depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata majlis titah oleh Yang di-Pertuan Agong itu merupakan yang kedua dalam sejarah, sejak negara menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan pada 1957.

Titah Diraja yang pertama oleh Yang di-Pertuan Agong keempat Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah berlangsung pada tarikh sama (31 Ogos) 50 tahun dahulu, sewaktu Rukun Negara diisytiharkan pada 1970, katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai Hari Kebangsaan 2020 hari ini.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, ‘Malaysia Prihatin’ dipilih, bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan Covid-19.

Saifuddin berkata, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk berangkat hadir pada sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan itu.

Mengenai persiapan sempena sambutan tersebut, Saifuddin berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan persiapan yang semakin lancar berbanding semalam.

“InsyaAllah kita berdoa agar semua acara yang dirancang akan berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata sambutan pada tahun ini dilakukan serba ringkas dalam suasana norma baharu dengan mematuhi semua tatacara operasi piawai pencegahan wabak Covid-19.

Katanya, acara sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :