Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa bergambar bersama Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Program Kayuhan Amal Berbasikal di Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 28 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tragedi Adib, enam anggota lemas dorong pegawai bomba buat kayuhan solo

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kematian tujuh anggota bomba termasuk Muhammad Adib Mohd Kassim mendorong seorang pegawai badan beruniform itu mengutip dana bagi membantu keluarga mangsa yang terlibat.

Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, berkata dua kejadian tragis pada 2018 itu menggerak hatinya membuat kayuhan amal bagi meringankan beban keluarga.

“Dari peristiwa malang itu saya terdetik untuk bantu keluarga mangsa. Alhamdulillah selepas dua tahun, idea ini menjadi kenyataan dan mendapat sokongan banyak pihak.

“Memang mulanya saya mahu serah kepada keluarga tujuh anggota ini namun saya serahkan kepada pengurusan untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, jurulatih Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu disambut Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sampai di Ibu Pejabat JBPM Selangor selepas membuat kayuhan solo sejak 6 Ogos lalu.

Pada 3 Oktober 2018, Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi menyelamat Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember selepas mengalami cedera parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, November 2018.

Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa tiba di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 28 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Fakhrul Munir berkata beliau berjaya singgah di lebih 100 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Semenanjung walaupun hanya 63 sasaran.

“Perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak sangat menguji ketahanan apabila mengalami kekejangan otot selain berdepan hujan lebat dan angin lintang.

“Namun ia tak mematahkan semangat saya. Pengalaman 15 tahun sebagai anggota serta kerap mendaki gunung membantu saya menguatkan diri,” katanya.

Kayuhan solo bermula 6 Ogos lalu membabitkan 2,020 kilometer dan dijangka berakhir 31 Ogos ini di Putrajaya.


Pengarang :