Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
AGENDANASIONAL

Tun M nasihat berniaga di rumah, guna e-panggilan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad menggalak pengusaha makanan berniaga dari rumah dengan menggunakan khidmat e-panggilan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri berkata alternatif itu boleh dipraktik susulan ada peniaga bimbang tidak dapat membuat bayaran sewa premis apabila tempoh moratorium tamat pada September.

“Mungkin mereka (peniaga) tidak mampu menjalankan perniagaan di bangunan kedai, oleh itu mereka boleh berniaga dari rumah sahaja dan gunakanlah perkhidmatan penghantaran seperti Food Panda dan Grab Food.

“Talian komunikasi kita masih berjalan baik walaupun pergerakan dihadkan, disebabkan itu ramai yang memilih untuk melakukan pembelian dalam talian. Oleh itu, sekarang adalah masa terbaik untuk melakukan pemasaran dengan cara berbeza dari sebelum ini,” katanya ketika siaran langsung di Facebook Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis), hari ini.

Pada 19 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April lalu.

Pada 8 April lalu, Selangor turut memperkenalkan program e-dapur dengan kerjasama Grab dan Platform Selangor yang mensasarkan penjaja dan peniaga kecil dalam industri makanan dan minuman di negeri ini.

Sehingga 13 Julai lalu, program berkenaan berjaya membantu 133 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta.


Pengarang :