Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Kebangsaan menerusi program Semangat Merdeka Unisel 2020 di kampus Shah Alam pada 25 Ogos 2020. Foto Facebook Unisel
AGENSIPENDIDIKANSELANGOR

Unisel anjur sambutan Hari Kebangsaan, peluang pelajar hayati merdeka

SHAH ALAM, 27 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan supaya pelajar generasi baharu dapat menghayati erti kemerdekaan.

Naib Canselornya berkata ia dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Semangat Merdeka Unisel 2020 di kampusnya di sini Selasa lalu.

“Walaupun sudah 63 tahun merdeka, pengisian sambutan harus dilakukan dengan aktiviti bermanfaat termasuk pengisian membina peribadi insan. Malah, kita juga perlu sentiasa ingat tarikh keramat 31 Ogos iaitu bebasnya negara daripada penjajah,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kemasukan Ogos dan menasihatkan mereka mematuhi peraturan serta menumpukan perhatian kepada pelajaran untuk mencipta kecemerlangan.

“Semoga pelajar terus berdisiplin dan tidak mensia-siakan harapan ibu bapa untuk melihat mereka menjadi pelajar cemerlang satu hari nanti,” katanya.

Program diadakan dengan simbolik perasmian majlis iaitu acara memotong riben dan nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh kakitangan dan pelajar di perkarangan tempat letak kereta kampus Shah Alam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, wakil MBSA dan pengurusan tertinggi Unisel.


Pengarang :