AGENDAEKONOMINASIONAL

Untung bersih TM naik kepada RM274.74 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM274.74 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020, naik daripada RM114.18 juta pada suku tahun sama tahun lepas, berikutan kos operasi yang rendah dan tiada kerugian susut nilai kepada aset rangkaian tetap.

Perolehan pada suku tahun itu susut 6.4 peratus kepada RM2.59 bilion daripada RM2.77 bilion sebelum ini, dengan perolehan merosot bagi semua barisan produk kecuali perkhidmatan data mencerminkan impak daripada pelarasan harga Streamyx berkuat kuasa dari September tahun kewangan sebelum ini.

Perolehan turut terjejas daripada kuantiti yang rendah dan aktiviti ekonomi yang terhad semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 6.8 sen sesaham berjumlah RM256.1 juta.

Pada separuh pertama 2020, syarikat melabur 9.3 peratus daripada perolehan untuk perbelanjaan modal berjumlah RM479.2 juta – sejajar dengan panduan – memberi tumpuan kepada jalur lebar, perkhidmatan data dan mudah alih untuk mengekalkan kualiti dan ketersediaan perkhidmatan di seluruh negara, katanya.

Daripada jumlah yang dilaburkan, sebanyak 59 peratus untuk akses rangkaian, 23 peratus untuk rangkaian teras, dan baki sebanyak 18 peratus untuk sistem sokongan, katanya dalam kenyataan berasingan.

Kumpulan terus memberikan perkhidmatan kepada negara dengan keadaan tidak menentu berikutan pandemik Covid-19. Sejak pertengahan Mei 2020, TM menyambung semula aktiviti jualan serta aktiviti pemasangan dan pemulihan perkhidmatan di premis pelanggan.

Kedai TMpoint dibuka semula di seluruh negara pada waktu normal.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan dan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami berikutan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dengan sekatan yang berkurangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar.

Beliau berkata kumpulan akan meneruskan komitmennya untuk mengekalkan keuntungan perniagaan bagi suku tahun 2020 yang akan datang.

Pada separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih naik kepada RM427.27 juta daripada RM422.46 juta, manakala perolehan sebanyak RM5.15 bilion berbanding RM5.55 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

-BERNAMA


Pengarang :