Wakil persatuan penduduk mengambil inisiatif menggunakan pam racun untuk membunuh jentik-jentik.
ADNSELANGOR

Usaha basmi denggi, kes di DUN Sentosa turun

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kes demam denggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa turun dari 347 pada Januari kepada 86 pada Julai hasil pelbagai aktiviti diambil pejabat DUN berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya berkata antara usaha termasuk gotong royong (cari dan musnah), penubuhan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di lokaliti tertentu, ceramah dan latihan pencegahan.

“Tanpa menunggu pihak berwajib, persatuan penduduk juga menggunakan mesin pam racun untuk membunuh jentik-jentik dan membuat penyemburan berkala bagi mengawasi kawasan mereka dari wabak denggi.

“Saya berharap masyarakat sedar kes denggi juga adalah ancaman dan kita patut kekal menjaga persekitran rumah walaupun sibuk dengan aktiviti seharian,” kata Dr Gunaraj George dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan kes denggi bertambah disebabkan masyarakat mengabaikan aspek kebersihan terutama di kediaman strata dan kawasan industri.

“Oleh itu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang masih berdegil, bermula Januari hingga Julai lalu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Perbandaran Klang mengeluarkan 203 kompaun, 36 kes sudah didakwa manakala 68 lagi diberi notis kepada pemilik kediaman dan premis niaga.”


Pengarang :