Pengurus Jualan Red One Network Sdn Bhd cawangan Kelantan Daniel Leoh (kiri) dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Zabidi Ishar (dua, kiri) bersama melepaskan pengayuh basikal Wan Hashim Wan Mahmood, 74, bagi Kayuhan Solo Merdeka 2020 di hadapan rumah warga emas itu di Jalan Telipot di sini pada 8 Ogos 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Warga emas kayuh dari Kota Bharu ke KL saksi peristiwa merdeka

KOTA BHARU, 9 OGOS: Menyaksikan perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan di Kuala Lumpur dengan berbasikal selama 11 hari pada tahun 1960 adalah detik yang tidak pernah dilupakan oleh pengayuh solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Wan’.

Wan Hashim ketika berusia 14 tahun, menyaksikan sendiri Perdana Menteri pertama negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’ yang menjadi pembakar semangat untuk beliau kembali ke Stadium Merdeka suatu hari nanti dengan berbasikal.

“Kalau dulu, Pak Wan berkayuh beramai-ramai dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tetapi hari ini Pak Wan berkayuh secara solo untuk ke Kuala Lumpur pada usia 74 tahun.

“Pak Wan mahu buktikan cinta kepada negara tidak pernah berbelah bahagi dan cukuplah Pak Wan dapat mengimbau kembali sejarah melihat ribuan rakyat begitu gembira menyambut Hari Kemerdekaan,” katanya kepada Bernama sebelum memulakan Kayuhan Solo Merdeka 2020 di rumahnya di Jalan Telipot, di sini.

Majlis pelepasan itu dilakukan bersama Pengurus Jualan Red One Network Sdn Bhd cawangan Kelantan Daniel Leoh dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) Zabidi Ishar.

Wan Hashim Wan Mahmood, 74, bersiap sedia untuk misi Kayuhan Solo Merdeka 2020 di hadapan rumahnya di Jalan Telipot di sini pada 8 Ogos lalu. Foto BERNAMA

Dalam misi kayuhan solo itu, Wan Hashim membawa mesej kepada semua kaum di negara ini agar bersatu padu membina negara dan mengelak persengketaan.

Wan Hashim dijangka kembali ke rumahnya pada waktu tengah hari 31 Ogos dan bakal mencipta rekod Malaysia Book of Record (MBOR) iaitu Lelaki Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia Sebanyak Sembilan Kali.

Mengimbau sejarah kayuhan sejauh 500 kilometer (km) pada 1960 itu, Wan Hashim berkata beliau dan 14 rakan lain berkayuh dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Pak Wan dapat tahu ada satu kumpulan basikal mahu ke Stadium Merdeka untuk menyambut Hari Kemerdekaan di sana. Mereka semua lebih tua daripada Pak Wan dan pada mulanya enggan membenarkan Pak Wan kerana terlalu muda serta akan menyusahkan mereka nanti,” katanya.

Wan Hashim berkata dalam tempoh itu mereka terpaksa berkayuh dalam hujan, panas dan ribut selain keletihan tetapi tetap meneruskan kayuhan sehinggalah sampai ke Kuala Lumpur sehari sebelum Hari Merdeka.

Anak sulung daripada 13 beradik itu adalah antara puluhan ribu rakyat Malaysia yang berdiri sejak subuh lagi di dalam Stadium Merdeka untuk melihat perbarisan anggota keselamatan dan kenderaan rasmi kerajaan.

“Pak Wan tidak dapat gambarkan perasaan ketika melihat Tunku melaungkan ‘Merdeka’, sayu, sedih, gembira, semua bercampur. Masa itulah Pak Wan sedar betapa susahnya kita untuk merdeka,” katanya yang tinggal di ibu negara beberapa hari sebelum pulang ke Kelantan dengan menaiki keretapi dari Port Klang.

Sementara itu, Daniel berkata syarikatnya kagum dengan kesungguhan Wan Hashim walaupun telah berusia namun tetap gigih untuk melakukan kayuhan sempena Hari Kebangsaan itu.

“Kami golongan muda di Red One akan mengambil semangat Pak Wan untuk membina negara bersama rakyat berbilang kaum,” katanya.

Wan Hashim mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Seterusnya, beliau mencatatkan nama sekali lagi dalam MBOR pada 2015, 2017 dan dua tahun lepas dengan jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :