Orang ramai mengambil bekalan air dari tangki yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor ketika tinjauan di Lorong Raja Muda Abd Aziz pada 5 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

120 lori tangki digerak ke lokasi belum terima bekalan air – MB

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 93 lori tangki air dan 27 lori tangki jumbo sudah digerakkan ke lokasi yang belum menerima bekalan air, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada masa sama sebanyak 14,162 botol air seberat lima liter diagihkan kepada penduduk bagi memudahkan mereka mendapat bekalan berkenaan.

“Setakat jam 9 malam, saluran semula perkhidmatan air telah pulih sebanyak 32.15 peratus. Daerah Kuala Selangor hampir pulih sepenuhnya diikuti Kuala Lumpur, Petaling dan Klang.

“384,692 akaun telah pulih daripada jumlah 1,196,457 akaun secara keseluruhan,” tulisnya menerusi Twitter, hari ini.

Terdahulu dilaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor pada 3 September lalu.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Namun Amirudin menyasarkan bekalan air akan pulih kepada 50 peratus akaun pengguna di seluruh Selangor menjelang tengah malam esok.


Pengarang :