Hasnul Baharuddin (dua dari kiri) beramah mesra dengan penderma ketika melawat lokasi kempen derma darah di Dewan MPKL Taman Banting Baru pada 31 Ogos 2020. Foto Facebook Hasnul Baharuddin
ADNSELANGOR

140 sertai kempen derma darah DUN Morib sempena Merdeka

BANTING, 2 SEPT: Seramai 140 individu sertai kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Hasnul Baharuddin berkata program yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat adalah usaha membantu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menambah bekalan darah.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa seluruh negara melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah sebagai usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kempen tersebut akan diadakan secara kerap di sekitar mukim itu bagi memudahkan masyarakat yang berdepan kekangan masa untuk pergi ke hospital.

“Misalnya, hari cuti sempena menyambut Merdeka sebegini dapat memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan keadaan lebih selesa seterusnya memupuk nilai murni,” katanya sambil menambah peserta diberi sijil penghargaan oleh HTAR.


Pengarang :