AGENDABERITA UTAMANASIONAL

281 kawasan pulih bekalan air, kualiti tepati piawai

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 281 kawasan mendapat bekalan air sementara 1,011 lagi masih dalam proses pemulihan sehingga jam 9.30 malam tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Elina Baseri berkata secara keseluruhan, 21.75 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air pulih sepenuhnya.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Elina berkata Air Selangor memberi jaminan kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada masa sama, pihaknya turut menghargai bantuan lori tangki dari Syarikat Air Negeri Sembilan, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Darul Aman dan Pengurusan Air Pahang Berhad.

“Turut sama membantu ialah Lembaga Air Perak, Syarikat Air Terengganu, Syarikat Ranhill SAJ dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia yang membantu mengagihkan air kepada pengguna terjejas,” katanya.

Maklumat pemulihan bekalan air tidak berjadual boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com .

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu dilaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor pada 3 September lalu.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.


Pengarang :