Bangunan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar di Banting yang musnah dalam kebakaran pada 4 Ogos 2020. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

31 pelajar asrama tahfiz terbakar Kuala Langat terima RM500

SHAH ALAM, 10 SEPT: Seramai 31 pelajar perempuan asrama Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat yang terbakar awal Ogos lalu diberi sumbangan RM500.

Pengetuanya, Abdul Halim Saljadi berkata bantuan itu membolehkan mereka yang mendiami tingkat empat bangunan membeli semula barangan peribadi yang musnah termasuk keperluan persekolahan.

“Pelajar juga menerima sumbangan baju sekolah selain barangan dan keperluan peribadi. Semua barangan mereka musnah ketika kebakaran itu dan tak dapat diselamatkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata semua pelajar menjalani sesi persekolahan seperti biasa namun ditempatkan di kuarters guru dan satu kem jati diri berhampiran.

Tambahnya, pelajar dijangka mendiami semula bangunan asrama pertengahan Oktober ini selepas kerja baik pulih selesai.

“Kekuda tingkat atas yang rosak siap dipasang. Proses pendawaian dan cat akan dilakukan selepas ini. Bagaimanapun kita akan pastikan semua selamat sebelum membenarkan masuk asrama,” katanya.

Pagi 4 Ogos lalu, 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar. Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mereka bersiap untuk menunaikan solat Subuh.


Pengarang :