Ketua Polis Balai Tun H.S Lee, Inspektor Khairulmizam Ibrahim (dua, kiri) bersama Inspektor Syafiq Muhammad Sharif (tiga, kiri) memberi nasihat kepada orang awam yang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavillion ketika melakukan rondaan menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 pada 19 Mac sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

39 individu ingkar arahan PKPP, tujuh direman – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 2 SEPT: Bilangan individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kembali menurun dengan 39 orang ditahan semalam berbanding 778 kelmarin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai tujuh individu direman dan 27 pula dikenakan kompaun.

“Kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa.

“Selain itu, lima kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah serta 10 aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri sebanyak 63,206 pemeriksaan dilakukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP.

Katanya, pemantauan dilakukan di 3,981 pasar raya, 5,162 restoran serta 1,611 penjaja, 1,810 kilang, 3,681 bank dan 1,111 pejabat kerajaan.

Pemeriksaan turut dilakukan di 1,789 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air serta 125 terminal pengangkutan udara.


Pengarang :