Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 8 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

47 kes baharu Covid-19, aktif 591

SHAH ALAM, 13 SEPT: Jumlah kes baharu Covid-19 kembali menurun kepada 47 berbanding 58 semalam membabitkan 45 penularan tempatan dan dua kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import berkenaan direkodkan di Selangor membabitkan rakyat Maghribi dan satu kes warganegara Republik Maldives di Kuala Lumpur.

“Daripada 45 kes penularan di dalam negara, 28 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan 17 adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 31 membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu (22), empat kes saringan warga emas di klinik kesihatan sementara masing-masing satu kes saringan petugas kesihatan, saringan orang kena tahan (OKT) dan Influenza-like illness (ILI).

“Di Kedah terdapat 14 kes baharu direkodkan dengan 13 daripadanya Kluster Tawar dan satu Kluster Sungai kesemuanya membabitkan warganegara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes adalah 9,915 dengan 591 kes aktif kebolehjangkitan sementara tujuh individu sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 9,196 kes.

Terdapat sembilan kes positif wabak sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes.


Pengarang :