Peniaga nasi lemak, E Segar menerima lesen sementara dari EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han hari ini di Taman Kinrara, Puchong.
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

503 penjaja sekitar Subang Jaya terima lesen sementara

PUCHONG, 11 SEPT: Seramai 503 penjaja tidak berlesen sekitar Subang Jaya menerima permit sementara bagi membolehkan perniagaan mereka diteruskan.

Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan berkata pemberian lesen sejak Jun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan merupakan usaha membantu peniaga terjejas akibat penularan Covid-19.

“MPSJ juga meluluskan 12 lokasi baharu bagi menempatkan 222 penerima permit untuk berniaga pada waktu pagi, petang dan malam.

“Cara ini memastikan keselamatan penjaja terjamin. Pemberian lesen serta merta ini memudahkan urusan pemohon terutama golongan B40 yang baharu berniaga sebagai sumber pendapatan,” katanya  selepas Program Penyerahan Lesen Sementara Pasca Covid-19 dekat Taman Kinrara, di sini hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han dan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan turut hadir program berkenaan.

Sementara itu, Noraini berkata pihaknya menawarkan tapak niaga di pasar pagi dan malam kepada peniaga baharu.

“Kita dapati selepas Covid-19 ini ramai yang menjadi peniaga. Memandangkan ada tapak kosong, kita tawarkan kepada mereka.

“Permohonan dibuat di www.mpsj.gov.my. dan dipilih selepas proses temu duga. Ia terbuka kepada peniaga di kawasan MPSJ sahaja,” katanya.


Pengarang :