EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau menyerahkan bantuan kepada penerima Program Pemberian Barangan Perlidungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat.
EXCOSELANGOR

5,700 keluarga B40 terima makanan, keperluan kesihatan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Seramai 5,700 golongan berpendapatan rendah (B40) seluruh Selangor menerima bantuan makanan asas serta keperluan kesihatan bagi berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata Program Pemberian Barangan Perlidungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat itu memfokuskan keluarga susah terutama warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

“Pemberian disalur melalui penghulu kawasan atau ketua kampung di 57 mukim. Setiap mukim diperuntukan kepada 100 penerima dengan dana keseluruhan berjumlah hampir RM348,000.

“Antara barang diberikan beras, milo, bijirin serat, biskut selain barangan keperluan norma baharu iaitu pelitup muka, pencuci tangan serta cecair pembasmi kuman,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Ganabatirau berkata pihaknya mengutamakan pemberian barangan keperluan supaya penerima menjalani PKPP dengan mudah dan selesa sehingga hujung tahun ini.

“Ini mengurangkan beban mereka membeli keperluan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman yang ketika ini diperlukan setiap hari,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan berkenaan kepada beberapa mukim di Klang. Setakat ini lima mukim sudah menerima sumbangan berkenaan.


Pengarang :