Selangorkini
AGENDA NASIONAL

5G buka 39,000 peluang pekerjaan baharu – Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Pelaksanaan 5G diunjurkan membuka 39,000 peluang pekerjaan baharu sekali gus mengubah landskap tenaga kerja ke arah kemahiran bernilai tinggi, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata impak ekonomi daripada 5G ke atas Malaysia dijangka besar, dengan pelaksanaannya berperanan sebagai pemangkin untuk produktiviti dan pertumbuhan negara.

Selain itu, kajian terbaharu yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia melaporkan 5G berpotensi menyumbang tambahan RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga 2025, katanya.

“Pelaksanaan 5G dan Industri 4.0 (IR 4.0) bukan hanya akan berlaku malah ia menawarkan peluang dengan jaminan kelajuan dan tindak balas yang pastinya membawa produk dan perkhidmatan baharu serta kaedah revolusioner dalam melakukan sesuatu perkara,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Invest Malaysia 2020 – Siri Maya 3 di sini hari ini.

Beliau berkata menghubungkan berjuta-juta peranti digital dan mencipta perkhidmatan baharu bagi peranti berkenaan akan mentransformasikan cara hidup serta bagaimana perniagaan, kerajaan dan bursa beroperasi.

“Apabila memperakui kepentingan transformasi digital, kita sebagai pasaran modal kolektif perlu menyediakan jaminan bahawa usaha kita, sebagai korporat, pengawal selia dan pembiaya, adalah bergerak seiring untuk memastikan Malaysia memanfaatkan peluang yang akan dibawa oleh gelombang 5G dan teknologi IR 4.0 ini,” katanya.

Abdul Wahid berkata dalam dunia automasi perindustrian dan teknologi telekomunikasi yang bergerak pantas ini, penelitian ke atas syarikat secara menyeluruh dan menentukan jika organisasi mempunyai modal insan yang tepat untuk menggunakan teknologi canggih digabung dengan pelaksanaan amalan tadbir urus yang betul, boleh dikatakan sama penting dengan asas kewangan mereka.

“Syarikat tersenarai Malaysia perlu berada di bahagian hadapan dalam penggunaan dan pelaksanaan inovasi teknologi untuk memastikan negara kita kekal rancak dan pasaran modal kita pula kekal sebagai pasaran terkemuka ASEAN,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :