Peniaga bergambar bersama lesen penjaja sementara yang diterima mereka dalam majlis penyerahan di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

60 lagi penjaja di Klang terima lesen niaga sementara

KLANG, 8 SEPT: Seramai 60 lagi penjaja di sini menerima lesen perniagaan sementara dari Majlis Perbandaran Klang (MPK), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata usaha itu dilakukan selepas 35 penjaja menerima lesen yang sama pada 19 Ogos lalu, dan akan diteruskan kepada 500 lagi penjaja dari semasa ke semasa.

Katanya, pemberian lesen sementara itu bagi membantu individu menjalankan perniagaan ketika pasca Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ng Sze Han menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan lesen penjaja sementara kepada mereka dalam majlis di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Memahami kesulitan yang dialami mereka, kita permudahkan pemberian lesen dan saya jangka lebih banyak lesen akan diberi namun kepada mereka yang berkelayakan sahaja.

“Kita akan beri keutamaan kepada penjaja yang bermaustautin di lokasi yang sama, sekiranya di bawah Klang, akan diberi menerusi MPK dan sekiranya bawah Subang, maka ia dibawah Majlis Perbandaran Subang Jaya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan lesen perniagaan sementara kepada penjaja di Tapak Penjaja Hadapan Econmart, Sungai Bertek dan Tapak Penjaja Simbang Empat, Teluk Pulai, di sini, hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata sehingga kini seramai 120 lesen perniagaan sementara sudah diberi kepada penjaja di bawah pentadbiran MPK.

“Permohonan lesen ini masih dibuka sehingga 31 Disember 2020 dan kami menggesa supaya penduduk di sini mengambil peluang berkenaan.

“Sekiranya ada yang berniaga di kawasan rumah, boleh juga buat permohonan dan kita akan semak lokasi yang dinyatakan. Tempoh kelulusan hanya mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari,” katanya.


Pengarang :