Keadaan di Maybank pada 1970an. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

60 tahun bertapak, Maybank kongsi pencapaian dan perancangan masa depan

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sewaktu Maybank memulakan operasinya 60 tahun lepas pada 12 September 1960 menerusi cawangan pertama ikoniknya di Jalan H S Lee di sini, negara ini sebaliknya sedang berada di persimpangan.

Pada masa itu, Malaysia atau dikenali sebagai Malaya sebelum ini, baru sahaja mengecapi kemerdekaan dan kalangan barisan pengasas bank itu yang diterajui oleh mendiang Tan Sri Khoo Teck Puat, menggalas misi atau matlamat utama – membantu membiayai pertumbuhan ekonomi negara selain memastikan bank itu dapat diakses oleh segenap lapisan rakyat.

Tiada siapa pun tahu ‘nasib’ sebenar bank itu – sama ada mampu meneruskan kelangsungan dalam persekitaran yang sekian lamanya dikuasai oleh bank-bank asing atau sebaliknya ‘hanyut’ dalam persaingan dengan institusi kewangan yang bergelar gergasi ketika itu.

Sejajar dengan kehadiran detik istimewa bersempena ulang tahun ke-60 Maybank pada Sabtu ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias sempat mengimbau liku-liku perjalanan bank itu dengan menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang telah berperanan penting dalam mencorakkan serta membantu menjadikan institusi kewangan tersebut antara kisah kejayaan Malaysia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias. Foto BERNAMA

“Ramai yang kami perlu hargai dan ucapkan terima kasih – barisan pemimpin dan pekerja yang membangunkan bank ini, para pelanggan setia, pihak pengawal selia, rakan niaga, pelabur serta masyarakat secara amnya,” katanya.

Bercakap kepada Bernama, beliau menyifatkan sokongan padu mereka secara kolektif itulah yang membolehkan Maybank muncul sebagai entiti tersenarai terbesar negara dan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dengan lebih 2,600 cawangan runcit di peringkat global.

Selain berpangkalan di Malaysia, Maybank turut beroperasi di Singapura dan Indonesia.

Kumpulan perbankan itu juga bertapak kukuh di Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, China, Thailand, India, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu, Laos, Myanmar, Pakistan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Nilai

“Saya percaya, nilai-nilai teras kami yang bertunjangkan matlamat penubuhan bank ini sendiri – menginsankan perkhidmatan kewangan sehinggalah membina kepercayaan dan ini jugalah yang akan terus memacu kejayaan Maybank di masa-masa depan selagi terus berpegang teguh kepadanya.

“Sedari awal lagi, barisan pengasas kami komited untuk membawa perkhidmatan perbankan itu kepada orang ramai. Mereka menyedari bahawa kalangan masyarakat dan orang biasa sewajarnya mendapat akses kepada pembiayaan serta mampu berkembang maju secara ekonomi dan sosial,” tegas beliau.

Ini berkait rapat dengan aspirasi bank itu untuk menyokong pembangunan negara dan komuniti sebagaimana Malaya yang baru bangkit dan perlu meneruskan kelangsungan sebagai sebuah negara bebas dan mewujudkan kehidupan lebih baik untuk rakyatnya.

“Kami tidak pernah tersasar daripada prinsip-prinsip ini – sama ada di Malaysia mahu pun di negara-negara asing yang menjadi tempat beroperasi pada hari ini. Matlamat kami tetap sama dan banyak kerajaan turut memperakuinya.

“Malah, hakikatnya, ia telah berkembang secara menyeluruh dan berubah kepada matlamat teras iaitu ‘menginsankan perkhidmatan kewangan.

“Matlamat ini menjadi pegangan kami dalam segenap perkara yang diusahakan – bertindak secara integriti, membuat keputusan perniagaan, bagaimana kami melayan para pelanggan dan pekerja, berkaitan dengan rakan niaga, pengawal selia dan pelabur serta semua yang lain,” katanya.

Mewujudkan ikatan kepercayaan yang kukuh dengan pemegang kepentingan merupakan satu lagi bahagian yang diambil berat oleh Maybank.

“Ini telah menjadi satu lagi tonggak utama yang dibina oleh Maybank. Kepercayaan adalah asas kepada hubungan perbankan dan kami berbangga mendapat kepercayaan daripada berjuta-juta pelanggan, kakitangan kami dan semua pemegang kepentingan, yang memberikan kelebihan kompetitif kepada kami.

“Kepercayaan, seperti reputasi, sukar untuk dibina dan mudah putus.

“Sebagai sebuah institusi kewangan, kami menyedari hal ini dan bekerja keras untuk terus mengukuhkan ikatan ini dengan pemegang kepentingan kami,” katanya.

Menurut Farid kepercayaan yang diberikan kepada Maybank jelas dipamerkan semasa berlakunya krisis kewangan.

“Kita tahu semasa keadaan tersebut ketika kualiti menjadi satu perkara yang diberi perhatian, Maybank merupakan antara yang paling utama menjadi pilihan orang ramai – mencerminkan kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami yang mampu bertahan malahan dalam keadaan paling sukar,” dedahnya.

Seiring dengan kepercayaan, berhemat merupakan satu lagi nilai tradisional yang didukung oleh Maybank.

Farid berkata sebagai pihak yang menjaga wang orang ramai dan komponen utama kestabilan sistem kewangan – bukan hanya di Malaysia tetapi di banyak pasaran di rantau ini – Maybank menyedari bahawa ia perlu kekal menjadi tunjang kepada sistem.

“Mengambil pendekatan berhemat bukan bermakna tidak aktif atau mundur – prinsip panduan yang memacu semua kakitangan Maybank adalah kami perlu berkembang dengan secara bertanggungjawab dan memastikan kami terus menjana nilai bagi semua pemegang kepentingan kami – bukan memusnahkannya.

“Pendekatan konservatif ini telah membantu kami selama bertahun-tahun ini dan memastikan kami mampu bertahan dengan segala cabaran,” ujarnya.

Petunjuk jelas daripada ini dapat dilihat bagaimana Maybank telah berkembang kukuh sejak penubuhannya.

Dalam laporan tahunan pertamanya pada Jun 1961, selepas sembilan bulan beroperasi, Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak $53,509 dan memiliki aset bernilai $102 juta.

Hasil daripada pendekatan berhematnya selama ini, Kumpulan itu telah berjaya membangunkan asas yang kukuh, merekodkan keuntungan bersih RM8.2 bilion pada 2019, dengan aset melebihi RM834 bilion.

Menerusi komitmen mengambil pendekatan berhemat inilah juga yang menjadikan Maybank mampu bertahan daripada sebarang impak peristiwa tidak dijangka yang membawa kesan melampau.

“Sama ada ia pengurusan risiko, membangunkan perancangan tenaga kerja kami atau paras modal kami ke tahap antara yang terbaik di rantau ini pada hari ini, ia sentiasa dilakukan dengan kepercayaan bahawa kami perlu meletakkan asas yang cukup kuat untuk bertahan dengan sebarang kejutan yang tidak dijangka.”

Mencari Keseimbangan yang Betul

Farid berkata Maybank akan terus berusaha keras mencari keseimbangan yang betul untuk membantu para pelanggannya dan ekonomi yang berkaitan dalam perjalanan mereka ke arah operasi mampan memandangkan keseimbangan antara pembangunan mampan dan ekonomi terangkum agak tipis.

“Kami mahu melakukan perkara yang betul, dipandu oleh matlamat kami dan seterusnya memastikan kami membina masa depan yang mampan untuk semua.”

Beliau mengakui sementara Maybank pada umumnya telah menikmati kejayaan yang utuh sejak bertahun-tahun lamanya, ia tidak akan dapat dicapai tanpa mengharungi cabaran.

Antaranya, masalah besar perbankan dalam tahun 1966, krisis global dan kewangan Asian, dan sekarang, pandemik Covid-19 yang merupakan tempoh sukar bagi Kumpulan. “Ya, ini merupakan tempoh yang sangat mencabar, tetapi apa yang paling penting, soalan yang harus ditanya ialah sama ada kita telah belajar apa-apa dari situ – dan saya percaya, kita telahpun berbuat demikian,” kata beliau.

Inovasi Kunci Untuk Berjaya

Maybank tidak pernah lari daripada sebarang inovasi.

“Sejarah kami dipenuhi dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan pertama yang tidak terhitung banyaknya – sama ada ianya perbankan menerusi telefon dan internet, penembusan ke pasaran seberang laut, perbankan menerusi bas mudah alih dalam tahun 1970an dan sekarang dengan telefon mudah alih,” kata beliau.

“Pada masa sama, kami telahpun memperkenalkan amalan sumber manusia dan beberapa program pemerkasaan komuniti berteraskan industri seperti program “Women Eco-Weavers” dan program latihan “Reach Independence Sustainable Entrepreneurship” untuk orang kelainan upaya dan terpinggir yang sudahpun diperakui di peringkat serantau.

Farid percaya inovasi akan menjadi kunci kejayaan Maybank di masa hadapan dengan pengaruh kuat digital, sambil menambah syarikat akan terus melabur secara strategik bagi memastikan ia telah membuat persediaan rapi.

“Kami tidak berbelanja sembarangan tetapi menerapkan amalan yang ketat untuk merealisasikan nilai daripada setiap satu pelaburan kami.”

“Kami memberi tumpuan terutamanya kepada penggunaan data dan teknologi bagi membantubukan sahaja dalam membuat keputusan tetapi juga dalam memberi maklum balas kepada keperluan pelanggan dalam dunia yang pesat berubah ini.

“Pasukan pengembangan aplikasi kami di Malaysia dan Bangalore telahpun menghasilkan beberapa penyelesaian proprietari yang kami gunakan dalam operasi termasuk platform sesawang dan perbankan mudah alih. Kami juga akan melancarkan lebih banyak lagi dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 tahun kami.”

Masa depan

Malah, apabila mengimbau kembali masa lalu dengan penuh rasa berterima kasih, Farid berkata Maybank secara aktifnya merancang masa depan yang berbeza berbanding sebelum ini.

“Kehidupan ini kini dalam dunia yang amat berbeza khususnya susulan pandemik ini. Ironinya, semasa kejayaan diraih dalam sejarah kami, kami dicabar semula seperti ketika baru bermula – bolehkah kami kekal berdaya tahan dalam persekitaran dunia yang kesemuanya berubah?”

“Seringkali kedengaran kata-kata ‘biarlah masa yang menentukan’, namun, pada masa sama kita perlu berfikir secara berbeza.

“Ada pepatah mengatakan – esok adalah hari ini, dan pada hari inilah kita perlu bangkit mencipta dunia untuk masa depan. Oleh itu, kami tidak akan menunggunya untuk berlaku, sebaliknya akan bekerja keras untuk mencipta masa depan bagi generasi akan datang,” katanya.

Atas dasar itu, Farid menzahirkan keyakinan, walau apa pun terjadi, Maybank akan kekal berdaya tahan dan terus berkembang pada masa akan datang.

“Kami telah mempelbagaikan operasi di rantau ini, 43,000 pekerja, asas kewangan yang kukuh dan keyakinan pihak berkepentingan yang perlu sentiasa kami pertahankan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :