AGENDANASIONAL

AADK-KKM: Nasihat, kaunseling bantu individu ketagih rokok, alkohol

PARIT, 24 SEPT: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu individu yang menghadapi masalah penagihan rokok dan alkohol kronik melalui kemudahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata individu yang mempunyai masalah ketagihan rokok dan alkohol akan dirawat sebagai pesakit luar dengan memberi bantuan berbentuk nasihat dan kaunseling.

“Kita menumpukan penagihan rokok dan alkohol kerana ia merupakan penagihan yang serius. Saya percaya langkah ini dapat memberi nilai tambah kepada perkhidmatan AADK dan kemudahan yang terdapat di 31 buah Puspen seluruh negara,” katanya pada sidang media Hari Terbuka AADK dan perasmian Puspen Seri Iskandar di sini hari ini.

Zulkifli berkata, gandingan antara AADK dan KKM diyakini dapat memangkin usaha merawat masalah penagihan rokok dan alkohol di negara ini kerana kedua-dua agensi ini mempunyai kepakaran masing-masing.

Pegawai AADK akan dilantih supaya dilengkapi dengan keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam usaha membantu rakyat mengamalkan kehidupan lebih baik, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hanya 832 orang atau 17 peratus daripada 4,938 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada tahun 2019, mendapatkan rawatan secara sukarela di 11 Puspen, seluruh negara.

Katanya, rekod menunjukkan individu yang mendapatkan rawatan sukarela ini terdiri daripada kakitangan awam, swasta, pelajar dan penganggur.

“Justeru, majikan yang mempunyai kakitangan terlibat masalah penyalahgunaan dadah diminta supaya memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan rawatan dengan memberi cuti bagi memastikan mereka segera kembali pulih.

“Ahli keluarga, terutama ibu bapa juga hendaklah memastikan mereka yang terlibat dengan penagihan dadah supaya mendapatkan rawatan sejak awal lagi,” katanya.

Program sehari itu, turut disertai vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, yang merupakan antara pelatih yang telah pulih menerusi rawatan secara sukarela di Puspen Dengkil, Selangor.

Ameng yang dijemput membuat persembahan turut meminta individu yang terlibat dengan penagihan dadah supaya mendapatkan rawatan segera di Puspen kerana selain menyediakan tempat yang selesa, pusat itu turut mengendalikan program yang teratur.

– BERNAMA


Pengarang :