Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Abd Hamid Hussain menandatangani watikah pelantikan di MPSepang hari ini.
PBTSELANGOR

Abd Hamid dilantik YDP MPSepang yang baharu

SEPANG, 3 SEPT: Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain dilantik sebagai YDP Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abd Hamid itu dianggap bagai sirih pulang ke gagang berikutan beliau sebelum ini pernah bertugas di MPSepang sebagai setiausaha antara 1997 sehingga 2002.

Kemudian beliau bertugas di MPAJ sebagai pemangku YDP sebelum dilantik sebagai YDP di majlis berkenaan.

Abd Hamid, 53, berkata pelantikan itu hadir dengan tanggungjawab berat untuk mencapai misi dan visi MPSepang.

“Ketika saya menjadi setiausaha di MPSepang, pada masa itu masih giat pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Litar Sepang dan juga Cyberjaya. Sekarang semuanya sudah siap.

“Saya akan cuba untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Bukan sahaja untuk mencapai visi dan misi MPSepang tetapi juga menjaga kebajikan warga kerja di semua peringkat,” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.

Abd Hamid berkata beliau mahu memperkenalkan program pihak berkuasa tempatan (PBT) Rakyat melalui medium media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk meningkatkan hubungan mesra dengan masyarakat.

“Ini kerana, media sosial ini seringkali mendapat perhatian rakyat di pelbagai peringkat usia. Pada masa sama, kerjasama strategik bersama media cetak dan elektronik juga perlu kerana akan memudahkan dan mempercepatkan saluran maklumat kepada orang awam,” katanya.


Pengarang :