ADN Rawang, Chua Wei Kiat menyantuni warga emas di Rawang. Foto ihsan Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

ADN: Bantu ahli SMUE tuntut baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 2 SEPT: Anak-anak atau saudara terdekat diminta tampil membantu ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang mendapatkan baucar Jom Shopping bernilai RM100 yang masih belum dituntut.

Wakil rakyatnya, Chua Wei Kiat berkata sehingga kini, kira-kira 3,203 daripada 5,405 warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan itu belum mengambil baucar berkenaan sejak diperkenalkan September tahun lalu.

“Kebanyakan yang belum menuntut (baucar) mungkin berasa bahawa manfaat ini sepatutnya diberikan kepada orang lain yang lebih susah.

“Namun, kita ada menggerakkan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rawang untuk mengagihkan baucar ini dari rumah ke rumah ahli selain menghubungi dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kerana faham golongan itu kurang mahir dengan teknologi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menjangka permohonan bantuan itu meningkat dari semasa ke semasa kerana baucar tersebut membolehkan warga emas dan OKU membeli barang keperluan asas atau ubat-ubatan.

“Kita dapati ramai warga emas gembira terutama mereka yang pertama kali menikmati manfaat daripada Kerajaan Negeri, jadi kita jangka permohonan bertambah kerana sudah ramai tahu mengenai program ini,” katanya.

Ahli keluarga atau penerima boleh mengambil baucar tersebut di PKM DUN Rawang pada 7 hingga 11 September ini bermula 10 pagi hingga 4 petang dengan membawa kad pengenalan.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Selangor menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada setiap warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping Warga Emas.


Pengarang :