ADNSELANGOR

ADN: Batu Arang potensi pelancongan baharu di Selangor

SHAH ALAM, 10 SEPT: Batu Arang, Rawang berpotensi dimajukan sebagai produk baharu pelancongan di Selangor kerana sering menjadi lokasi pilihan pengunjung khususnya penggemar acara basikal lasak untuk berekreasi.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata setiap hujung minggu, pekan warisan dahulunya digelar Bukit Emas Mini akan dipenuhi penggiat sukan terbabit yang menjelajah kawasan sekitarnya sambil mencari makanan.

“Batu Arang sudah dimasukkan dalam peta pelancongan Selangor dan kita berusaha untuk mempromosi kembali kawasan ini selain membangunkan laman sesawang supaya dapat menarik lebih ramai pelancong seterusnya memahami kesan sejarah yang ada.

“Ini kerana semasa pemerintahan British, pekan ini terkenal dengan aktiviti perlombongan tetapi ditutup disebabkan arang batu kurang bernilai. Sejak itu tiada banyak inisiatif untuk menjadikannya sebagai kawasan tarikan pelancong,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mempelawa seluruh rakyat tempatan untuk berkunjung ke Batu Arang memandangkan sudah ada pihak yang mengambil inisiatif membangunkan inap desa.

“Jadi, ia sesuai untuk mereka (pengunjung) mengadakan hari keluarga atau mana-mana badan korporat yang berminat menganjurkan program bersama kakitangan.

“Dalam tempoh ini (Perintah Kawalan Pergerakan) harga (inap desa) murah dan peluang terbaik untuk pelancong meneroka lokasi pelancongan di Malaysia khasnya Selangor,” katanya.


Pengarang :