Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDANASIONAL

Agong jalani rawatan susulan intervensi di IJN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keracunan makanan dan intervensi dinasihati menjalani rawatan susulan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negera berkata rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke institut itu pada malam 21 September, sementara rawatan intervensi dilakukan susulan pengimejan MRI pada 22 September yang menunjukkan kecederaan dialami baginda ketika bersukan.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September. Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN,” kata Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan.

Beliau menambah Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Pada 22 September, Agong dilaporkan menjalani rawatan di IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan dan keadaan baginda tidak membimbangkan.

“Al-Sultan Abdullah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan sebelum ini.


Pengarang :