Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong titah tindakan tegas hukum pencemar air Selangor, Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 7 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu hukuman berat dikenakan terhadap pihak mencemarkan Sungai Gong, Rawang sehingga berlakunya gangguan bekalan air yang menjejaskan lima juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Baginda yang menzahirkan dukacita terhadap kejadian berkenaan mahu tindakan itu diambil sebagai pengajaran kepada semua untuk memastikan kelestarian alam terpelihara dan mengelakkan pencemaran yang menjejaskan kehidupan serta kesejahteraan rakyat.

“Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh kesah dan beban rakyat mengharungi situasi tersebut.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong juga menyeru Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kes pencemaran seumpama itu tidak berulang.

Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Lembah Klang berlaku mulai Khamis lalu susulan pencemaran di Sungai Gong, dipercayai berpunca daripada sebuah premis penyelengaraan jentera menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.


Pengarang :