Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook ISTANA NEGARA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong zahir sokongan roboh premis cemar sungai

SHAH ALAM, 7 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong tindakan Kerajaan Selangor untuk merobohkan premis penyelenggaraan jentera berat yang menjadi punca pencemaran di Sungai Gong, Rawang.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan terhadap Kerajaan Negeri yang mengarahkan pemiliknya merobohkan struktur bangunan kerana tanah persendirian dibangunkan itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan agensi kerajaan di atas tindakan segera mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Hari ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memulakan tindakan keras terhadap pemilik bengkel penyelenggaraan jentera yang mencemari Sungai Gong dengan memberikan notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, iaitu membina bangunan tanpa kebenaran.

Pemiliknya diberi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini bagi membuktikan mereka mempunyai kebenaran merancang, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan premisnya diroboh.

Dalam operasi itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak turut menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah kepada pemilik premis tersebut.

Tindakan itu selaras arahan Dato Menteri’ Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengarahkan pemilik premis itu mengosongkan tanah dan memulihkannya dengan segera.


Pengarang :