Hasnul Baharuddin (kanan) meninjau dan mendengar penerangan anggota APM berhubung persediaan serta pemantauan pasukan menghadapi fenomena air pasang besar. Foto Facebook Hasnul Baharuddin
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air pasang besar: APM tambah pasukan pantau kawasan pantai

SHAH ALAM, 19 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Langat akan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di lokasi tumpuan pengunjung bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

Pegawai Sektor Operasinnya Leftenan (PA) Azahar Abdul Rashid berkata operasi giat dijalankan di Pantai Morib, Pantai Baharu Morib, Pantai Kelanang dan Batu Laut.

“Setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, anggota APM dikerahkan untuk menjaga di sekitar persisiran pantai.

“Pelbagai aset APM seperti bot, ambulans dan kenderaan pacuan empat roda sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku semasa fenomena tersebut,” menurutnya di Facebook.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat runtuh susulan ombak kuat, namun kerja baik pulih giat dijalankan.

Keadaan pesisir Pantai Morib

Sementara itu, wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin mengulangi gesaan supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai sepanjang tempoh fenomena air pasang besar.

Beliau berkata masih ada segelintir individu terutama warga asing yang melanggar arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengunjungi Pantai Morib pagi semalam.

“PBT (Majlis Perbandaran Kuala Langat) mengesan antara 10 hingga 15 orang yang berada di sana, namun kesemua akur apabila diarah segera meninggalkan kawasan tersebut.

“Kebanyakan mereka tahu kejadian air pasang besar akan melanda daerah ini dan memberi risiko kepada penduduk khususnya di pesisiran pantai serta kawasan rendah,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar menasihatkan penduduk di lima daerah negeri ini tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini hingga November berikutan fenomena air pasang besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.


Pengarang :