Pantai Kelanang antara yang diramal dilanda fenomena air pasang besar.
ADNSELANGOR

Air pasang besar: Penduduk dinasihat berjaga-jaga hingga November

SHAH ALAM, 4 SEPT: Penduduk dinasihat berjaga-jaga sepanjang tempoh fenomena air pasang besar yang diramal melanda lima pantai negeri ini bermula Oktober.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin berkata penduduk perlu menghindari kawasan pesisiran pantai sehingga penghujung November.

“Saya ingin minta kerjasama ketua kampung agar memastikan maklumat ini sampai kepada penduduk, pada masa sama, penduduk juga haruslah sentiasa peka dan patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah berkata bagi mengelak situasi buruk berlaku, pihak bertanggungjawab perlu memastikan parit tersumbat dibaiki dan benteng sungai di kawasan berisiko dalam keadaan baik.

Beliau menambah kebiasaannya jumlah hujan melebihi kadar normal ketika kejadian menyebabkan air parit atau sungai melimpah sehingga berisiko merosakkan benteng.

“Jika ada kejadian ban (benteng) pecah, kejadian banjir akan berlaku lebih buruk. Oleh itu pihak bertanggungjawab perlu memastikan ia dalam keadaan baik.

“Ibu bapa jangan leka dengan membiarkan anak-anak bermain di sungai ataupun laut, pantau mereka kerana keadaan cuaca tidak menentu ini berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya.

Manakala, ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menggesa penduduk Kuala Selangor terutama di kawasan rendah untuk bersiap sedia.

“Kita jangkakan kemungkinan akan berlaku banjir jika fenomena ini berlaku di luar jangkaan, antara kampung berisiko banjir termasuk Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam dan Kampung Bukit Kuching.”

Semalam, Justeru Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata fenomena air pasang besar diramal berlaku pada 19 dan 20 September, 17 sehingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Unit itu mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi keadaan tersebut.


Pengarang :