AGENSISELANGOR

Air Selangor agih 23,000 botol air, hantar lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 23,000 botol air minuman diagihkan kepada penduduk rumah unit bertingkat di tujuh wilayah yang terjejas gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Selangor hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata lori tangki air juga digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang disediakan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan petang ini.

Menurut Elina lagi, setakat jam 6.30 petang Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi.

“Pencemaran masih dikesan di muka sauk loji pada tahap tiga ton. Susulan itu, air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada 1,292 kawasan tidak dapat dibekalkan,” katanya.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati pencemaran berpunca daripada kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gongyang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.


Pengarang :