EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (tiga, kiri) merasmikan Program Kesedaran Selamatkan Lapisan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat negeri di Kolej Profesional Mara, Beranang pada 22 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ambil iktibar pencemaran Sungai Selangor, lapor salah laku jenayah

KAJANG, 22 SEPT: Insiden pencemaran Sungai Selangor dan Sungai Semenyih wajar dijadikan pengajaran supaya masyarakat tidak sesekali mengabai perlakuan jenayah terhadap alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar berkata orang awam harus menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat bagi mencegah kejadian tersebut.

“Sungai sebahagian daripada bumi dan nadi kehidupan pelbagai spesies di dalamnya, jadi tidak wajar jika kita membiarkan salah laku yang akan memusnahkan ekosistem. Begitu juga pembakaran terbuka dan pencemaran kilang yang menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Beliau berucap pada program Kesedaran Selamatkan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Selangor di Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Pada 3 September lalu, empat loji rawatan air dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor yang menjejaskan ratusan ribu pengguna di Lembah Klang.

Sementara itu, Nor Aziah berkata Hutan Rekreasi Sungai Tekala dipilih untuk penganjuran aktiviti plogging (joging sambil mengutip sampah) sempena sambutan hari ozon.

Menurutnya, aktiviti yang bakal disertai pelajar Kolej Mara dan agensi JAS itu bagi memupuk kecintaan dan semangat memelihara alam sekitar.


Pengarang :