Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Amirudin: RM10,000 tanda solidariti kepada pengundi Sabah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Dato’ Seri Amirudin Shari menghulur sumbangan peribadi RM10,000 kepada Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia sebagai menyokong kempen Pulang Mengundi Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor turut menyifatkan sumbangan tersebut sebagai tanda solidariti kepada pengundi negeri di bawah bayu dan sokongan kepada demokrasi yang bakal memanfaatkan lebih kurang tiga puluh pengundi yang tinggal di Semenanjung untuk pulang mengundi.

“Saya dan pimpinan parti ingin menggesa orang ramai yang sudi menyumbang untuk menghulurkan bantuan dengan mengikuti akaun @PulangMengundiSabah di Facebook serta @PulangMengundi di Twitter.

“KEADILAN Selangor komited menyuburkan amalan demokrasi di negara ini dan memperkukuhkan semangat setiakawan rakyat berbilang kaum berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September. Seramai 447 calon bakal bertanding melibatkan seramai 404 lelaki dan 43 wanita.


Pengarang :