Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Anugerah bandar rendah karbon, MPK iktiraf usaha masyarakat

KLANG, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menganjurkan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon (LCC) 2020 untuk mengiktiraf penglibatan masyarakat dalam program berkenaan.

Yang Dipertuanya berkata pemilihan dilakukan berdasarkan perkiraan dan penilaian data perlu dikumpul setiap tahun manakala antara pengiktirafan diberikan adalah Anugerah Provisional, Anugerah Dimond, Pertandingan Bandar Rendah Karbon serta Anugerah Program Kitar Semula 3R.

“Bagi mencapai pengurangan pelepasan karbon, usaha perlu dilakukan dengan tumpuan kepada empat elemen iaitu penjimatan elektrik, air, amalan kitar semula, penanaman pokok dan penghijauan kawasan,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam ucapan pembukaan LCC 2020 di Hotel Premiere, Bandar Bukit Tinggi di sini semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyampaikan hadiah kepada juara kitar semula kategori minyak masak terpakai kepada River Ranger Kampung Sungai Pinang Bandar ketika Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2020 di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 29 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han turut melancarkan penerbitan Buku Laporan Pelan Tindakan Program Bandar Rendah Karbon Selaras Dengan Matlamat Pembangunan Mampan (LCC SDG) 2020-2022 dan Buku Laporan Tindakan SDG MPK.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan St Anne’s Convent, Violet Pushparani Selliah gembira apabila sekolahnya memenangai kategori Pembinaan Tenaga Elektrik selepas berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 56.5 peratus.

“Kita maklumkan kepada semua pelajar dan kakitangan mengenai program jimat elektrik serta air yang kita buat di sekolah.

“Saya mengambil keputusan menggantikan lampu biasa kepada lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) untuk menjimatkan elektrik selain menggunakan air hujan yang disimpan untuk membasuh dewan. Selain itu saya membuat pemeriksaan berkala di seluruh kawasn sekolah,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Haniza Abdul Majid, Guru Penolong Kanan 1 KAFA Al-Falah Sungai Pinang apabila dipilih selaku pemenang kategori Persekitaran Hijau-Air.

Beliau berkata dengan kerjasama semua sekolahnya berjaya mengurangkan pelepasan karbon 66 peratus sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM1,500.


Pengarang :