Presiden Parti KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Cubaan Filipina tuntut Sabah tidak boleh diterima

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Cubaan beberapa pegawai Filipina mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah tidak boleh diterima, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam soal itu, Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata beliau menyokong usaha kerajaan untuk menegaskan integritinya ke atas kawasan itu kepada semua badan serantau dan antarabangsa.

“Sabah adalah sebahagian Malaysia. Keputusan ini dibuat oleh rakyat Sabah sendiri pada 1963. Rakyat Malaysia bersatu dalam mempertahankan setiap inci daripada kawasan kami,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Anwar berkata dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kini bukan masanya untuk berpolitik dan memulakan provokasi.

“Ini merupakan masa untuk memberi tumpuan pada usaha memerangi Covid-19, membantu jutaan keluarga miskin dan golongan tidak berkemampuan yang terkesan oleh krisis ekonomi dan menentukan hala tuju dan masa depan baharu yang lebih aman dan makmur untuk rakyat Malaysia dan Filipina,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :