Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar dakwa dapat majoriti ‘kukuh, meyakinkan’ bentuk kerajaan baharu

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengumumkan ia mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang “kukuh dan meyakinkan”.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media mengejut di sebuah hotel di ibu kota tengah hari ini bagi memaklumkan usaha mendapat sokongan besar wakil-wakil rakyat.

Tambahnya, majoriti itu “bukan empat, lima atau enam” tetapi enggan memberi butiran penuh jumlah tersebut.

Beliau berkata susulan itu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi dapat dipertahankan.

“Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli-ahli parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Ingin saya nyatakan di sini majoriti yang menyokong saya ialah ahli parlimen Melayu dan Islam,” katanya.

Anwar menjelaskan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam tetapi ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, insya-Allah,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau memohon rakyat agar bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara, menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.

“Insya-Allah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya,” kata beliau lagi.


Pengarang :