AGENDANASIONAL

Anwar: Kukuh persefahaman kaum, junjung Perlembagaan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat mengukuh persefahaman antara kaum dan agama serta terus menjunjung Perlembagaan dan semangat federalisme.

Ketua pembangkang berkata kedudukan Sabah dan Sarawak juga perlu direncana sebaik mungkin supaya kedua-dua negeri mendapat pembangunan seimbang dan munasabah.

“Tanggal 16 September 1963 memberi makna besar buat negara kerana terbentuknya Malaysia dan semangat federalisme menjadi paksi yang mengikat muafakat sehingga hari ini.

“Atas semangat ini kita harus bertekad dan berpadu atas asas-asas penting iaitu keamanan, kesejahteraan dan kerukunan. Janji kemerdekaan adalah janji agar khazanah negara dirasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, suku mahupun agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia.

Anwar berkata kemerdekaan sangat bermakna buat rakyat Malaysia selepas lebih 400 tahun dijajah, justeru sumbangan dan pengorbanan semua pihak perlu dihargai.

Beliau berkata Hari Malaysia pula menjadi kesinambungan dan titik penting yang menjanjikan keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh warganya yang berbilang kaum.

“Apa erti kemerdekaan jika dasar dan kebijakan yang diupayakan pemerintah sejak puluhan tahun lampau masih belum berhasil membela yang miskin dan melarat.

“Merdeka jenis apa jika masih ada rakyat yang dinafikan akses pada sumber elektrik dan air di kawasan pedalaman manakala elit politik menampuk kekayaan dan nikmat ekonomi tidak sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.

 


Pengarang :