EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menyampaikan ucapan sempena pembukaan Persiaran Shorea di Seksyen U16, Shah Alam pada 28 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Aspek keselamatan diutamakan sebelum Persiaran Shorea dibuka

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan Negeri memastikan keselamatan pengguna diutamakan sebelum Persiaran Shorea di sini dibuka secara rasmi tengah malam tadi.

EXCO pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam berkata walaupun jalan berkenaan siap sepenuhnya tahun lalu dengan kos RM60 juta tetapi pembukaannya tergendala kerana masalah haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau berkeliaran hampir 1,000 ekor di kawasan ini.

“Kita mengambil sedikit masa untuk menyelesaikannya dan Alhamdulillah Persiaran Shorea dapat dibuka serta memberikan manfaat kepada ramai penduduk,” kata Ir Izham Hashim ketika sidang media selepas melancarkan pembukaan Persiaran Shorea di sini semalam.

Ir Izham Hashim (tengah) memotong riben sempena simbolik perasmian pembukaan Persiaran Shorea di Seksyen U16, Shah Alam pada 28 September 2020. Bergambar dari kiri adalah Datuk Bandar MBSA Datuk Haris Kasim, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman, Ir Izham, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad Dato’ Azmir Merican dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri peka dengan keperluan semua pihak dan haiwan dipindah dikandang rapi dengan pemeriksaan berkala manakala proses pemindahan bakinya dijangka selesai sepenuhnya penghujung November.

Laluan sepanjang 4.43 kilometer (KM) ini memanfaatkan lebih 20,000 penduduk setempat terutamanya penghuni Saujana Utama dan Elmina Green.

Di samping membantu penyuraian trafik, jalan ini berupaya menjimatkan masa sebanyak 20 minit bagi penduduk Elmina Green yang mahu ke Elmina Central Park.

Persiaran Shorea juga akan menghubungkan Elmina Green ke Pusat Bandar Elmina serta membantu penyambungan perjalanan pengguna jalan raya dari City of Elmina ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang dijangka siap akhir tahun ini.


Pengarang :