AGENDASUKANKINI

Atlet lelaki lebih ramai alami gangguan seksual, perlu ditangani – Awam

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Keganasan berasaskan jantina (GBV), termasuk isu gangguan seksual dalam arena sukan Malaysia semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera bagi membina ruang yang selamat dan terjamin kepada semua terlibat, menurut Persatuan Pergerakan Wanita (Awam).

Presidennya, Premalosani Arivanathan berkata berdasarkan penyelidikan dilakukan oleh Kolej Poly-Tech MARA terhadap 422 atlet pada 2017, mendapati sebanyak 15.9 peratus responden pernah mengalami gangguan seksual dalam sukan, menyaksikan separuh daripada atlet terbabit pernah mewakili negara di pertandingan antarabangsa.

Lebih mengejutkan, katanya, atlet lelaki lebih terdedah kerana kajian menunjukkan bahawa 19 peratus daripada atlet lelaki pernah mengalami gangguan seksual, berbanding atlet wanita iaitu sebanyak 11 peratus.

“Kira-kira 28 peratus daripada mangsa terjejas dari segi fizikal dan mental mereka, sekali gus mempengaruhi prestasi dalam sukan serta kerjaya dalam jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Awam dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di sini semalam.

Premalosani berkata MoU berkenaan adalah langkah pertama untuk menangani isu GBV seperti gangguan seksual, rogol dan keganasan rumah tangga dengan memberi latihan kepada atlet, jurulatih dan pegawai selama setahun.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan sebanyak 191 laporan mengenai GBV diperoleh melalui talian telenita sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dan jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak.

“Berbanding sebelum ini, Awam hanya menerima 195 laporan mengenai kes GBV pada tahun 2019. Malah pada 2017 hingga 2019, kami menerima purata 100 hingga 150 kes setahun, tapi tahun ini, kami menerima 190 kes dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata badan induk sukan para itu berbangga kerana menjadi organisasi sukan pertama bekerjasama dengan Awam untuk menangani isu gangguan seksual tanpa mengira jantina.

“Inisiatif ini diambil demi melindungi dan memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam pergerakan sukan para di Malaysia, termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pentadbir persatuan.

“MPM dan Awam bersependapat bahawa gangguan seksual amat penting untuk dibincangkan secara terbuka walaupun agak sensitif bagi golongan wanita dan kurang upaya,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :