Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zamrose Mohd Zain (depan, tengah) bersama para anggota tentera pada acara Perbarisan sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 25 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

ATM tambah anggota dalam Op Penawar di Sabah

PORT DICKSON, 26 SEPT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah bilangan anggotanya bagi membantu penugasan Op Penawar bermula semalam di Sabah.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain berkata penambahan lebih 150 anggota adalah bagi mengawal tempat tertentu yang diisyitiharkan sebagai kawasan kuarantin.

“Antara tempat agak kritikal seperti Tawau dan Lahad Datu ia perlu diperketatkan dari segi perintah kawalan dan pergerakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat di sini semalam.

Zamrose berkata meskipun kes Covid-19 tempoh hari menurun sedikit namun disebabkan wujud kluster baharu di Sabah, anggotanya dikerahkan untuk membantu memperketatkan pematuhan tatacara operasi piawai Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, setakat ini seramai 2,300 anggota diatur gerak mengikut operasi di Sabah antaranya membabitkan Op Pasir Utara dan Selatan, Op Pasir Pesisir Pantai, Op Balasah dan Op Penawar.

Sementara itu, aktiviti kawalan persempadanan daratan negara akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa dengan menekankan dua perkara iaitu ‘intelligent’ atau perisikan, dan teknologi siber yang efisien dalam usaha mencegah dan mengurangkan aktiviti pencerobohan.

“Sejak melaksanakan dua perkara itu, ramai pendatang asing tanpa izin berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis, ini sekali gus dapat mengawal pencerobohan di sempadan negara” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata pihaknya juga akan bersiap siaga dalam membantu Polis Diraja Malaysia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam proses Pilihan Raya Negeri Sabah hari ini.

Katanya, meskipun setakat ini tiada apa-apa ancaman namun anggota tentera telah dipersiapkan dan akan sentiasa membantu pihak polis, esok (hari ini) sekiranya berlaku apa-apa kemungkinan yang tidak diingini,”katanya.

Terdahulu, perbarisan itu disertai seramai 109 pegawai dan 827 anggota dan ia dilaksanakan dengan mematuhi tatacara operasi piawai Kementerian Kesihatan.

– BERNAMA


Pengarang :