AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Azizulhasni, Bonnie rangkul Anugerah SAM-100PLUS 2019

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Anak Gustin masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019.

Pencapaian terbaik pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu pada 2019 adalah meraih kejuaraan di Kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge Disember lalu dengan menewaskan bekas juara dunia Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Beliau yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ turut meraih pingat emas acara pecut individu di Kejohanan Trek Asia 2019 yang berlangsung di Korea Selatan pada Oktober lepas.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya sebagai pemenang pada tahun ini. Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan.

“Keadaan sungguh mencabar namun saya tidak akan berputus asa dan menguatkan semangat perjuangan demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia,” kata Azizulhasni menerusi rakaman video di Melbourne, Australia.

Ini adalah kejayaan ketiga Azizulhasni dinobatkan dengan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.

Atlet berusia 32 tahun itu mengatasi empat lagi calon iaitu Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S. Kisona (badminton), Julian Yee (luncur ais) dan Loh Choon How (wushu).

Sementara itu, kemenangan Bonnie pada edisi kali ini telah memecah dominasi olahraga apabila dipilih untuk menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada SAM di atas anugerah ini. Saya tidak menjangkakan dipilih untuk menerima anugerah ini walaupun pencapaian pesaing lain juga tidak kurang hebatnya.

“Anugerah ini akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan rakan-rakan untuk terus menaikkan sukan para negara di peringkat antarabangsa,” kata Bonnie melalui rakaman video dari Sarawak.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek iaitu S. Suresh dan Wiro Julin (memanah) serta Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga).

Bonnie mencipta sejarah di Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas pada Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.

Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2019, wartawan sukan juga turut menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000 pada majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.

Senarai pemenang:

Atlet Terbaik: Azizul Hasni Awang (Berbasikal Trek)
Atlet Paralimpik Terbaik: Bonnie Bunyau Anak Gustin (Powerlifting)
Laporan Berita Terbaik (Media Cetak) : Aida Adilah Mat (Berita Harian)
Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik) : Shah Putra Taib Ahmad/Abdul Halim Mohd Yusoff (RTM)
Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak) : Mohd Firdaus Mohd Hashim (Harian Metro)
Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik) : Mohd Zulhelmi Zainal Alam (Astro Arena)
Laporan Khas Terbaik (Terbuka) : Wan Norbazly Wan Azmi/Azri Abd Malik (Astro Arena)
Fotografi Sukan Terbaik : Mohd Khairol Rizal Buhari (CNS Sport Talk)
Anugerah Siebel : Wan Norbazly Wan Azmi/Azri Abd Malik (Astro Arena)

– BERNAMA


Pengarang :