Azmizam Zaman Huri menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada pengurusan surau di Pangsapuri Taman Seri Berembang pada 23 April 2020. Foto ihsan Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

Azmizam berazam atasi masalah Pangsapuri Taman Seri Berembang

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang prihatin terhadap isu keretakan struktur Pangsapuri Taman Seri Berembang yang semakin serius.

Azmizam Zaman Huri berkata usaha dijalankan termasuk berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaik pulih kerosakan di kediaman kos rendah itu.

“Jika dibaiki struktur sahaja belum tentu selesai masalah ini kerana laporan Jabatan Kerja Raya mendapati ia tidak selamat dan akan ada kesan domino.

“Kedudukan pangsapuri ini sangat rapat antara satu sama lain selain terdapat beberapa tangki industri di situ,” katanya ketika dihubungi.

Azmizam Zaman Huri (baju merah) meninjau bumbung surau Pangsapuri Taman Seri Berembang yang bocor pada 23 April 2020. Foto ihsan Azmizam Zaman Huri

Azmizam memaklumkan kedudukan pangsapuri itu semakin condong dan membahayakan penduduk berdasarkan beberapa lawatannya sejak tahun lalu.

Beliau berkata surat permohonan baik pulih diserahkan kepada KPKT pada 8 Mac 2019 dan kini dalam perhatian Jabatan Perumahan Negara untuk tindakan lanjut.

“Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Perumahan Negara kini dalam proses akhir bagi membanci kediaman lain yang terjejas berikutan kerosakan struktur bangunan pangsapuri berkenaan,” katanya.

Pada 23 April lalu, Azmizam menyerahkan RM10,000 untuk membaik pulih struktur bumbung surau pangsapuri yang bocor.

Semalam, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin dalam lawatannya berkata satu daripada lima blok pangsapuri berusia 22 tahun retak dan pecah serta tidak lagi selamat didiami.

Justeru, beliau meminta kerjasama Kerajaan Negeri dengan memberi sebidang tanah untuk menempatkan semula kira-kira 3,000 penduduk di situ.


Pengarang :