Pekerja kontraktor sedang membersih sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Baik pulih tanah runtuh Taman Kelab Ukay siap 60 peratus

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerja baik pulih tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa berjalan lancar dengan 60 peratus siap setakat ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata pihaknya memantau kerja kontraktor dari semasa ke semasa bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada Disember.

“Kerja pemasangan kepingan besi sebagai penghadang pergerakan tanah di tebing anak Sungai Sering, baiki longkang dan beberapa proses lain untuk mengukuhkan tebing berjalan ikut jadual.

“Kita telah capai tahap 60 peratus dalam tempoh tiga bulan kerja baik pulih yang bermula pada Jun, Julai dan Ogos. Jadi kita ada tempoh empat bulan sehingga Disember untuk siapkan baki 40 peratus lagi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh rumah di taman perumahan berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang kediaman mereka.

Penduduk kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Selangor turut memberi bantuan sewa rumah RM1,000 selama enam bulan dan sumbangan kewangan RM500 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntuk sehingga RM3,000 bagi bantuan sewa.

Pada 4 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri selain kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.


Pengarang :